Tamatkan Ucapan Kebencian dan Diskriminasi di Malaysia

Published on

Illustrated by Alanis Mah (Instagram: _alanismah_)
Illustrated by Alanis Mah (Instagram: _alanismah_)

Artikel ini asalnya diterbitkan di Borneo Speaks dan diterjemahkan oleh Lady Mariah.

18 Jun, tarikh keramat Hari Antarabangsa untuk Melawan Ucapan Kebencian telah diraikan buat julung kalinya pada tahun 2022 selepas ia diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui resolusinya mengenai “menggalakkan dialog antara agama dan antara budaya serta toleransi dalam menentang ucapan kebencian” yang diterima pakai pada Julai 2021.

Resolusi itu mengiktiraf keperluan untuk menentang diskriminasi, xenofobia dan ucapan kebencian dan seterusnya menyeru semua pihak yang berkepentingan , untuk meningkatkan usaha mereka dalam menangani fenomena ini, selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

‘Ucapan kebencian’ adalah kebimbangan hak asasi manusia yang teruk di Malaysia. Ia sering digunakan untuk membungkam dan menakut-nakutkan golongan minoriti dan seterusnya mengambang hitamkan seluruh kumpulan dalam masyarakat, seraya menyekat perbezaan berpendapat.

Kita mestilah menghentikan semua bentuk diskriminasi dan kebencian dengan dasar dan inisiatif yang lebih progresif daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam masyarakat.

‘Ucapan kebencian’ di bawah piawaian hak asasi manusia antarabangsa

Tiada definisi seragam yang merujuk kepada ‘ucapan kebencian’ di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Istilah ini sering digunakan untuk menggambarkan bahasa yang,  menghasut kebencian, keganasan, prejudis dan mendiskriminasi.

Di bawah Perkara 19(3) Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), sekatan ke atas hak kebebasan berekspresi dibenarkan hanya jika ia adalah:

(a) diperuntukkan oleh undang-undang, (b) dalam usaha mencapai matlamat yang sah, termasuk melindungi hak orang lain, dan (c) perlu dan berkadar dengan matlamat itu.

Selain itu, ICCPR Perkara 20(2) menghendaki kerajaan mengehadkan ucapan yang menghasut diskriminasi, permusuhan, keganasan atau jenayah antarabangsa.

Piawaian ini menetapkan batas yang tinggi untuk menentukan pertuturan dan membayangkan keperluan untuk menjenayahkan pertuturan hanya apabila langkah yang kurang ekstrem tidak mencukupi.

‘Ucapan kebencian’ dan sikap tidak bertoleransi di Malaysia

Walaupun terdapat perlindungan perundangan di Malaysia iaitu Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang melarang diskriminasi berdasarkan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina, diskriminasi sistemik terhadap minoriti tetap berlaku. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bahasa kebencian, homofobia dan diskriminasi telah ditujukan kepada komuniti LGBTQI, pelarian, migran dan golongan minoriti agama di Malaysia.

Kita telah melihat bagaimana mereka yang berkuasa secara berterusan menyumbang kepada kebencian di negara ini terhadap minoriti. Misalnya,  insiden melarikan 528 tahanan dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada 20 April 2022, diikuti dengan pengekalan naratif jahat kerajaan terhadap pelarian Rohingya, menimbulkan kebimbangan segera mengenai komitmen kerajaan untuk melindungi hak asasi manusia, termasuk hak kesaksamaan dan tiada diskriminasi.

Memburukkan lagi pencabulan hak asasi manusia ini, Malaysia bergantung kepada Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) untuk menapis mereka yang berani bercakap tentang 3R (agama, kaum dan institusi raja).

Secara praktiknya, undang-undang ini mengutamakan perlindungan terhadap institusi sosial iaitu institusi beraja, agama dan kerajaan.

Seterusnya, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerajaan telah mengambil langkah untuk menapis dan menjenayahkan penceramah kebencian dalam talian yang didakwa dengan pendakwaan terpilih di bawah undang-undang yang menindas seperti AKM 1998, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Selalunya, undang-undang ini digunakan untuk menyekat ucapan yang sah yang harus dilindungi daripada menyasarkan ucapan yang dilarang oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk hasutan untuk keganasan. Undang-undang ini juga tidak mematuhi piawaian yang mengawal sekatan ke atas hak kebebasan berekspresi.

Perbincangan mengenai perlindungan minoriti daripada diskriminasi dan cara menangani ucapan kebencian dalam masyarakat ini tidak pernah tepat pada masanya.

Penyelesaian kepada masalah ini tidak seharusnya bergantung pada penapisan. Selalunya, penapisan isu atau pandangan yang menjadi perbalahan gagal menangani akar sosial yang mendasari jenis prasangka yang menjejaskan hak kesaksamaan. Sebaliknya, terdapat keperluan penting untuk dasar yang lebih inklusif dan tidak diskriminasi.

Badan undang-undang dan piawaian antarabangsa yang semakin berkembang menyediakan cadangan untuk membimbing usaha kerajaan untuk memerangi sikap tidak bertoleransi dan ‘ucapan kebencian’.

Khususnya, Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia 16/18 menetapkan pelan tindakan yang dipersetujui secara universal oleh negara untuk menangani prasangka berdasarkan agama atau kepercayaan.

Pelan Tindakan Rabat menyediakan panduan undang-undang dan dasar yang praktikal kepada negeri-negeri mengenai pelaksanaan Perkara 20(2) ICCPR. Dokumen ini mencadangkan pelbagai langkah dasar positif untuk memerangi ‘ucapan kebencian’ yang tidak bergantung pada hukuman jenayah, termasuk memudahkan dialog antara agama, melatih pegawai kerajaan, mempromosikan pluralisme media, dan mewujudkan ‘badan kesaksamaan’ untuk menangani konflik dan sikap tidak bertoleransi.

Kerajaan Malaysia boleh melaksanakan piawaian ini dengan melatih pegawainya sendiri untuk mengelak daripada menggalakkan persekitaran yang memecahbelahkan dan mendiskriminasi.

Kerajaan harus segera memperbaharui undang-undang yang telah digunakan untuk menapis ungkapan yang sah, membenarkan pelbagai individu di Malaysia untuk menyatakan pendapat mereka secara bebas.

Akhir sekali, kerajaan Malaysia harus menghidupkan semula usaha untuk meluluskan perundangan anti-diskriminasi yang komprehensif selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Artikel ini diterbitkan dengan kerjasama antara Borneo Speaks dan ARTICLE 19. Untuk info lanjut mengenai ARTICLE 19, sila ikuti pautan https://www.article19.org/region/malaysia/.